KHIND RTO Perkukuh Kebajikan Ejen dengan Penjagaan Kesihatan Bersama HeyDoc

Pada bulan Jun 2026, KHIND Direct Sdn Bhd ("KHIND") telah bekerjasama dengan Heydoc Health Sdn Bhd ("Heydoc Health") untuk memperkenalkan program perintis sokongan penjagaan kesihatan digital kepada semua usahawan KHIND RTO.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan KHIND dalam menjaga kebajikan komuniti agensinya, yang memainkan peranan penting dalam membantu rakyat Malaysia memiliki peralatan rumah berkualiti melalui pelan bayaran bulanan yang mampu milik.

Program ini akan dikuasakan oleh platform FutureK HeyDoc Health dan dijadualkan bermula pada 1 Julai 2026.

Komitmen KHIND Terhadap Kesejahteraan Komuniti Usahawan KHIND RTO

Sebagai syarikat yang sentiasa mengutamakan manusia di sebalik kejayaan perniagaan, KHIND percaya bahawa kesejahteraan ejen dan pemimpin agensi merupakan asas kepada prestasi yang lebih baik serta pertumbuhan yang mampan.

Melalui inisiatif ini, KHIND ingin meneroka pendekatan yang lebih tersusun dan mudah diakses untuk menyokong kesihatan komuniti agensinya, selari dengan perkembangan rangkaian KHIND RTO di seluruh Malaysia.

Menurut Cheng Duo-Ren, Pengarah Eksekutif KHIND Holdings Berhad merangkap Pengurus Besar KHIND Direct Sdn Bhd, ejen dan pemimpin agensi memainkan peranan penting dalam membantu isi rumah Malaysia mendapatkan akses kepada peralatan rumah yang diperlukan.

“Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan HeyDoc Health dalam inisiatif perintis ini sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan KHIND untuk menyokong ekosistem agensi di sebalik perniagaan sewa beli RTO kami. Seiring pertumbuhan rangkaian ini, kami ingin meneroka kaedah yang lebih praktikal untuk menyokong kesejahteraan mereka melalui model sokongan penjagaan kesihatan yang lebih tersusun dan mudah diakses.”

FutureK Memudahkan Akses Kepada Penjagaan Kesihatan

FutureK merupakan platform penjagaan kesihatan digital yang menggabungkan pelbagai perkhidmatan dalam satu ekosistem yang mudah digunakan.

Antara kemudahan yang disediakan termasuk telekonsultasi, pemenuhan ubat-ubatan, navigasi penjagaan kesihatan berpandu serta pengurusan kesihatan berasaskan data.

Melalui platform ini, pengguna boleh mendapatkan nasihat perubatan dengan lebih mudah tanpa perlu meluangkan masa yang panjang untuk menunggu di klinik. Ia juga membantu pengguna membuat keputusan kesihatan yang lebih awal dan lebih bermaklumat.

Telekonsultasi Sebagai Penyelesaian Yang Lebih Fleksibel

KHIND menyedari bahawa masa merupakan aset yang berharga bagi para ejen yang sentiasa bergerak dan berurusan dengan pelanggan.

Oleh itu, program ini memperkenalkan telekonsultasi sebagai alternatif yang lebih fleksibel untuk mendapatkan nasihat perubatan tanpa menjejaskan jadual kerja harian.

Pendekatan ini juga melangkaui model penjagaan kesihatan tradisional yang lazimnya berasaskan tuntutan bayaran balik, dengan menawarkan penyelesaian yang lebih praktikal dan responsif untuk tenaga kerja moden.

Kerjasama Membawa Inovasi Penjagaan Kesihatan Digital

Menurut Dr Raymond Choy, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Heydoc Health, FutureK dibangunkan untuk menjadikan penjagaan pesakit luar lebih pintar, berpandu dan mudah diakses melalui teknologi.

“Dengan menggabungkan telekonsultasi, pemenuhan ubat-ubatan, navigasi penjagaan kesihatan dan pengurusan kesihatan berasaskan data dalam satu platform digital, FutureK membantu organisasi menyokong komuniti mereka dengan lebih awal, lebih cekap dan pada skala yang lebih besar. Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan KHIND dalam membawa inovasi ini kepada ekosistem agensi RTO mereka.”

Majlis Pelancaran Rasmi dan Sesi Pengenalan FutureK & KHIND RTO

Inisiatif ini telah dilancarkan secara rasmi menerusi majlis menandatangani perjanjian dan sesi pengenalan yang berlangsung pada 18 Jun 2026.

Semasa sesi tersebut, ejen dan pemimpin usahawan KHIND RTO yang terlibat telah diperkenalkan kepada platform FutureK serta manfaat dan sokongan yang disediakan menerusi program ini.

KHIND dan HeyDoc Health juga akan bekerjasama untuk meningkatkan kesedaran mengenai program ini melalui pelbagai aktiviti komunikasi dalaman, sesi orientasi dan saluran digital.

Melangkah Ke Hadapan Dengan Sokongan Yang Lebih Inklusif

Seiring perubahan landskap tenaga kerja masa kini, KHIND terus mengambil langkah proaktif dalam menyokong komuniti tenaga kerja bukan tradisional melalui penggunaan teknologi yang lebih inovatif.

Kerjasama bersama Heydoc Health ini mencerminkan usaha berterusan KHIND dalam membina ekosistem yang lebih inklusif, progresif dan bersedia menghadapi masa depan, sambil memastikan kesejahteraan komuniti usahawannya terus menjadi keutamaan.